KOTA TINGGI, 28 JAN: Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah merampas lima unit bubu naga yang dipasang dan ditinggalkan di perairan RAPID, Pengerang di sini yang di wartakan sebagai kawasan larangan.
Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, serbuan itu dibuat pada jam 11.30 pagi di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Ayam, dekat sini.
“Rampasan bubu naga pada kali ini merupakan rampasan ketiga bagi pihak kami dalam tempoh sebulan di kawasan yang berdekatan.
“Bubu naga diharamkan kerana ianya mampu merosakkan ekosistem perikanan yang secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil.
Kesalahan menggunakan bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 manakala kes juga disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Johorkini