JOHOR BAHRU, 7 FEB: Kerajaan Johor meletakkan sasaran ‘zero pothole’ atau sifar lubang jalan sebagai antara petunjuk indeks prestasi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini bagi tahun 2020.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, kerajaan Johor turut meletakkan sasaran untuk mengatasi masalah jalan kampung melalui naiktaraf dan penambahbaikan.
“Antara perkara yang saya tekankan kepada ketua-ketua jabatan ialah ‘zero pothole’. Harapan saya, apa jua aduan berkaitan dengan jalan seperti berlubang akan diatasi dan ditangani dengan segera. Jangan ditangguh.
“Itu ada cara dan mereka tahu kaedahnya (antaranya) melalui rondaan. Bila ada penambahbaikan dan hendak dibaiki mesti gunakan kaedah terbaru yang menjimatkan dan cepat.
“Ini bukan tahun 70-an, ini tahun 2020. Kena cepat, cekap, efisien dan menjimatkan,” kata Solihan dalam wawancara bersama radio Johor FM, semalam.
Tambah beliau, bagi melicinkan proses tersebut, perkara itu akan ditangani melalui kaedah pengurusan aduan yang efisien.
Kata Solihan, orang ramai boleh membuat aduan di laman web JKR Johor di jkr.johor.gov.my, menghubungi pusat senhenti di talian 07-266987 dan 07-266988 atau melalui laman media sosial Facebook JKR daerah masing-masing.
Menjawab soalan pendengar Solihan yang juga ADUN Tenang berkata, kerajaan negeri akan menaiktaraf dan melebarkan jalan kampung, melalui inisiatif Infra Desa.
“Pembangunan sentiasa seiring kemajuan. Kalau dahulu hanya satu kenderaan yang boleh melalui jalan, sekarang mungkin nak berselisih (kereta). Ia semakin membesar.
“Kalau kawasan itu ada rizab jalan, kita boleh naiktaraf. Kalau tidak ada, kita akan buatkan laluan. Ini semua di dalam pemantauan Pejabat Daerah atau pun (syarikat) konsesi kita,” katanya lagi.
Johorkini