BM | EN | 中文

ZAKIR NAIK MOHON MAAF

zakir_naik.jpg

ARAU, 10 Feb -- Ilmuan Islam Antarabangsa Dr Zakir Naik menyampaikan syarahan bertajuk 'Qur'an and Modern Science : Conflict or Conciliation' pada Program Syarahan Antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus UniMAP Pauh Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik hari ini memohon maaf kepada pihak yang terkesan dan tersinggung dengan kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Menerusi kenyataannya yang dilapor pelbagai media, beliau menegaskan tidak mempunyai niat untuk menyinggung perasaan mana-mana individu atau masyarakat yang sememangnya bertentangan dengan prinsip Islam.

“Saya sentiasa menjadi orang yang berpegang kepada keamanan kerana itulah yang disebut al-Quran. Sudah menjadi misi saya untuk menyebarkan kedamaian di seluruh dunia.

“Malangnya, saya menghadapi pengkritik yang cuba menghalang saya daripada menjalankan misi saya.

“Seperti yang anda perhatikan sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya dituduh menyebabkan masalah perkauman di negara ini dan pengkritik saya menggunakan ayat terpilih yang diambil di luar konteks dan menambah rekaan yang aneh ke dalamnya.

“Hari ini, saya menjelaskan pendirian saya kepada polis. Bagaimanapun, saya sedih bahawa episod ini menyebabkan ramai orang bukan Islam yang menganggap saya sebagai seorang yang rasis.

“Apa yang merisaukan saya, mereka yang terluka tidak pernah mendengar ucapan saya tetapi hanya berdasarkan tanggapan mereka terhadap petikan (ucapan) di luar konteks,” kata Zakir, dipetik dari video permohonan maafnya hari ini.

Menurutnya, beliau bimbangkan ia membawa kemudaratan kepada imej Islam dan berfungsi untuk membuat orang jauh daripadanya.

“Rasis adalah kejahatan, saya tegas mengenainya, sama seperti al-Quran dan ia adalah bertentangan dengan segala apa yang saya berdiri sebagai pendakwah Islam.

“Walaupun sudah menjelaskan pendirian, saya berasakan perlu meminta maaf kepada semua pihak yang terkesan salah faham ini. Saya tidak mahu mana-mana daripada anda menyimpan perasaan sakit terhadap saya. Ia bukan niat saya untuk mengganggu mana-mana individu atau masyarakat.

“Ia bertentangan dengan prinsip asas Islam dan saya ingin memohon maaf atas salah faham ini. Pada masa yang sama, dengan rendah hati saya merayu anda semua terutamanya kepada orang bukan Islam.

“Sila luangkan masa untuk mendengar ucapan saya secara keseluruhannya. Syarahan saya di YouTube, Peace TV dan aplikasi mudah alih, TV Peace,” katanya.

Semalam Zakir disoal siasat lebih 10 jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga melepasi jam 12 tengah malam, susulan kenyataannya dalam acara di Kelantan awal bulan ini.

Pada Jumaat lalu, beliau tampil memberi keterangan kali pertama selama kira-kira lima jam di Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Beliau disiasat polis mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top