BM | EN | 中文

Zakat fitrah boleh dibayar secara manual di pejabat MAINJ seluruh negeri

IMG-20200516-WA0001.jpg

KULAI, 16 MEI: Pembayaran zakat fitrah kini boleh dibuat secara manual di kesemua pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) seluruh negeri tanpa perlu melakukan temu janji terlebih dahulu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi bagaimanapun berkata, kutipan zakat fitrah oleh amil secara persendirian tidak dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, keputusan itu dibuat pihaknya selepas mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Berhubung kutipan zakat fitrah, tiga perkara telah diputuskan bagi memudahkan masyarakat negeri ini membuat pembayaran dalam tempoh PKPB.

“Bermula Khamis lalu, kesemua pejabat MAINJ di seluruh Johor akan dibuka bagi pembayaran zakat fitrah mengikut waktu pejabat, tanpa perlu melakukan sebarang temu janji.

“Kedua, pegawai MAINJ akan digerakkan ke kawasan kampung untuk membuat kaunter pembayaran terbuka. Ketiga, Ketua Kampung boleh memanggil pegawai MAINJ untuk datang membuka kaunter dengan menetapkan masa bersesuaian,” katanya.

[TUTORIAL BAYAR ZAKAT FITRAH DI JOHOR SECARA ONLINE] 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini hari ini.

Sementara itu, Tosrin memberitahu, laporan polis yang dibuat pihaknya berhubung kenyataan seorang individu yang menggelarkan kebenaran 12 jemaah untuk solat Jumaat sebagai 12 ekor monyet.

“Tindakan individu bernama Facebook Manrosmaneo itu merupakan satu penghinaan kepada Agama islam.

“Ketetapan 12 jemaah itu merupakan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Agama Islam Negeri Johor,” katanya.

Tambah beliau, sehubungan itu pihaknya berharap tindakan tegas dapat diambil pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top