BM | EN | 中文

Zahid mahu Puad Zarkashi calon MB Johor – Sumber dalaman parti kerajaan

Zahid-Hamidi-n-Puad-Zarkashi-PRN-Johor.jpg

BATU PAHAT, 9 MAC: Berbaki tiga hari bagi kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, pemimpin Bersatu mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai menteri besar.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, calon berkenaan ialah ahli majlis tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi yang juga merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak.

“Semasa saya ke Rengit baru-baru ini, saya mendengar khabar bahawa Datuk Mohd Puad Zarkashi telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Datuk Hasni Mohamad sekiranya Umno menang.

“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah, sebagai Ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Zahid Hamidi, dia boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda presiden Umno berbanding Datuk Hasni.

“Dan Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Wan Saiful berkata, kemungkinan disebabkan itulah Puad diberi watikah oleh Zahid untuk bertanding di DUN Rengit, walaupun ahli MKT Umno itu sudah lama mengidam kerusi parlimen.

“Sekiranya berita ini betul, maka malang sekali untuk maruah bangsa Johor. Puad penyokong tegar Najib dan Zahid ini akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk agenda peribadi dia dan boss-bossnya,” kata Wan Saiful.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Bersatu sebelum ini mengggelar pemimpin Umno seperti Ahmad Zahid dan Najib daripada “kluster mahkamah” dan cuba mengukuhkan kedudukan mereka untuk melepaskan diri daripada tuduhan rasuah di mahkamah.

Bersatu juga mendakwa wujud perpecahan dalam Umno antara kumpulan penyokong Zahid dan mereka yang mengganggap “kluster mahkamah” sebagai liabiliti kepada Umno dan harus disingkirkan dalam pemilihan parti itu akan datang.

Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah berpuluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan kebajikan yang diasaskannya.

Dia juga menghadapi 40 pertuduhan rasuah membabitkan lebih RM43 juta bagi Sistem Visa Luar Negara (VLN).

BN sebelum ini secara rasmi menamakan Hasni sebagai “poster boy” untuk pilihan raya Johor.

Najib, yang tidak bertanding dalam PRN Johor, telah berkempen secara aktif di negeri itu walaupun terdapat rasa kurang senang di kalangan pemimpin BN untuk menonjolkan pemimpin yang telah disabitkan dengan rasuah.

Ahli Parlimen Rembau Umno Khairy Jamaluddin, misalnya, menegaskan bahawa Hasni dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yakob merupakan “poster boy” bagi BN dan akan menghiasi PRN Johor.

Ini selepas menteri kesihatan itu ditanya mengenai kemunculan Najib di Johor.

Najib yang telah disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah, kini sedang merayu hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta di Mahkamah Persekutuan.

Puad Zarkashi merupakan ahli parlimen Batu Pahat dari tahun 2008 namun tewas di kerusi itu pada 2013.

Rengit ialah kerusi DUN dalam kawasan parlimen Batu Pahat.

Pada PRN ini, Puad berdepan calon PN, Mohammad Huzair Lajis, Khairuddin A Rahim daripada PKR dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Pejuang.

Johorkini

 

Share this post

scroll to top