BM | EN | 中文

YWJ PELAWA SEMUA PIHAK ‘HIDUPKAN’ MUZIUM TOKOH JOHOR

gapura-sastera-shaharom-husain.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengalu-alukan mana-mana pihak di negeri ini untuk bekerjasama bagi ‘menghidupkan’ Muzium Tokoh Johor yang terletak di Jalan Lingkaran Dalam, dekat Bukit Senyum.

Pengarah YWJ, Mohd Ekmaluddin Datuk Ishak berkata, program berbentuk kolaborasi dengan pihak yang memiliki artifak dan bahan warisan berkenaan tokoh-tokoh di Johor adalah penting bertujuan melestarikan sejarah, seni dan budaya agar dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Sejarah dan pemuziuman tidak dapat dipisahkan. Maka peranan Muzium dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan sejarah amat mustahak.

Advertisement

“Harapan kami di Yayasan Warisan Johor agar semua agensi, persatuan, mahupun orang perseorangan dapat berganding bahu dalam usaha mengumpulkan maklumat berkaitan tokoh-tokoh yang banyak menyumbang jasa dan bakti membina masa depan negeri dan negara,” kata Ekmaluddin.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ‘Pameran Shaharom Husain: Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah’ di Muzium Tokoh Johor, disini, hari ini.

Tambahnya, ‘Pameran Shaharom Husain: Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah’ mendapat kerjasama baik dari oelbagai institusi antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Sultan Ismail Johor Bahru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Advertisement

Kata Ekmaluddin melalui usaha berkenaan, seorang tokoh pendidikan dan budayawan anak Johor dapat diketengahkan agar dicontohi dan dijadikan idola dalam membina jati diri bangsa.

“Apa yang dapat dilihat pada hari ini adalah satu langkah positif. Pameran ini dapat mengumpul dan mempamerkan khazanah tokoh sastera meliputi tujuh dekad.

“Ia bukan sahaja sebagai rujukan dan pembelajaran, tetapi menyahut semangat Shaharom Husain itu sendiri untuk menjadikan impian beliau satu kenyataan, iaitu mewujudkan Gapura Sastera di dalam sebuah muzium,” katanya.

Advertisement

Shaharom Husain dilahirkan pada 4 November 1919 di Kampung Peserai Batu Pahat, Johor dan meninggal dunia di rumah anaknya di Gombak, Selangor pada 14 Oktober 2008 pada umur 88 tahun.

Shaharom Husain adalah seorang Tokoh Guru, sejarahwan dan budayawan dan giat sebagai seorang penulis khususnya dalam genre drama teater Malaysia sekitar tahun 1940-an sehingga 1950-an.

Antara nama pena yang pernah digunakan oleh beliau ialah ‘Dharmaya’, ‘Mashhor Malaya’, dan ‘Shabi’.

Advertisement

Beliau juga telah menulis semula buku ‘Tawarikh Johor’ (1950) dan menghasilkan buku ‘Sejarah Johor dan Kaitannya Dengan Negeri-negeri Lain’ (1995).

Allahyarham Dr Shaharom Husain pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor, Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan (UKM) dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (UPSI).

‘Pameran Shaharom Husain: Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah’ kini berlangsung di Muzium Tokoh Johor.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top