JOHOR BAHRU, 13 JAN: Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) telah melantik 62 pegawai baharu untuk membantu dalam pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan di negeri ini.
Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, 19 daripadanya akan membantu pelaksanaan pelbagai program berkaitan masyarakat beragama Islam.
Menurutnya, empat daripadanya merupakan pegawai hospital yang ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, manakala selebihnya merupakan pegawai wanita.
“Pegawai Wanita Darul Ta’zim akan memberi tumpuan kepada penyampaian maklumat berkaitan program kerajaan negeri seperti Mama Friendly dan Biro Guaman Wanita Negeri Johor.
“Sementara itu, Pegawai Hospital Darul Ta’zim akan menyampaikan modul keibubapaan kepada golongan sasar di hospital terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bengkel Training of Trainers di Dewan MPC, Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Tambah Cai Tung, pelantikan pegawai YPKDT itu bertujuan untuk memastikan pelbagai program anjuran YPKDT dan kerajaan negeri dapat dipromosi di peringkat akar umbi.
Johorkini