BM | EN | 中文

Yayasan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf akan fokus rancangan hala tuju 2020

Yayasan-Tan-Sri-Muhyiddin-Charity-Golf.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Yayasan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) memberi komitmen untuk terus memberi fokus pada perancangan aktiviti amal ‘The Way Forward 2020’ yayasan berkenaan.

Presidennya Datuk Ir. Zainuddin Mohd Radzi berkata, beberapa siri perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan dengan pengasas dan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“TSMCG sedang mengadakan kejohanan golf amal, ‘Founders Cup 2020’ serta bengkel ‘TSMCG Way Forward 2020’. Acara ini berlangsung dari 1 hingga 4 Okt di sebuah resort dan padang golf di Desaru, Johor.

Advertisement

“Kedua-dua acara berjalan serentak dengan Founders Cup yang akan diadakan pada hari terakhir (3 Okt),” katanya dalam kenyataan semalam.

Ditubuhkan 18 tahun yang lalu oleh Muhyiddin dan beberapa rakyat Malaysia yang terkenal dan berkongsi wawasan mereka untuk menyumbang melalui aktiviti sukan golf, Zainuddin berkata TSMCG telah terlibat dalam aktiviti amal sejak awal penularan wabak COVID-19 dengan menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan makanan dan barang keperluan.

“TSMCG turut membekal dan menghantar mesin ventilator ke hospital, bantuan makanan kepada barisan hadapan serta mereka yang terjejas dengan wabak COVID-19,” kata Zainuddin.

Advertisement

Beliau berkata yayasan itu juga secara aktif mengendalikan pusat dialisis di Kuala Lumpur dan akan mewujudkan sebuah lagi pusat di Putrajaya dan Pagoh.

Sehingga tahun 2019, yayasan berjaya mengumpulkan sekitar RM17 juta dan telah menyalurkan bantuan kepada pelbagai organisasi kebajikan dan individu di Malaysia.

Zainuddin menjelaskan bahawa Founders Cup dan TSMCG The Way Forward telah dirancang lebih awal dan penyertaan pemain untuk kejohanan tersebut juga telah dikurangkan berikutan peningkatan kes COVID-19.

Advertisement

Semasa majlis penyampaian hadiah semalam, 20 organisasi amal menerima sebahagian daripada sumbangan daripada The Founders Cup 2020.

Antara organisasi tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan Cahaya Pelangi Johor Bahru, Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Johor Bahru, Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor, Yayasan JB Lions Renal Care, Persatuan Kebajikan Fei Xiang Johor Bahru, Pertubuhan Kebajikan Insan Istimewa Johor Bahru, Pusat Kebajikan Care Haven Bhd, Persatuan Kebajikan Prihatin Mersing dan Pertubuhan Kebajikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top