BM | EN | 中文

YAYASAN HARAPAN PONTIAN SUMBANG RM5,000 KEPADA SMK TAN SRI OSMAN MOHD SA’AT, MANFAAT PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Yayasan-Harapan-Pontian.jpg

PONTIAN, 20 OKT: Yayasan Harapan Pontian menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Mohd Sa’at di sini, khususnya untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas di situ.

Sumbangan tersebut adalah bertujuan untuk memperluaskan kawasan taman pemulihan atau ‘healing garden’ yang dibina di dalam kawasan sekolah itu.

Selain daripada tanaman pokok, taman tersebut turut menyediakan tempat untuk refleksologi kaki bagi pelajar-pelajar pendidikan khas dengan menggunakan kaedah berjalan di atas batu setiap hari.

Pengerusi yayasan tersebut, Zulkifly Tasrep berharap sumbangan yang disalurkan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar istimewa disitu pada masa kini dan hadapan.

“Saya dimaklumkan yang mereka disini suka untuk melakukan aktiviti penanaman.

“Mungkin dengan sumbangan yang diberikan, pelajar-pelajar ini boleh membiasakan diri dengan aktiviti penanaman untuk menjadi usahawan di daerah Pontian selepas tamat pengajiannya di sini,” katanya ketika berucap dalam program pemimpin bersama rakyat yang dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zulkifly berkata, pelajar-pelajar berkeperluan khas seperti ini perlukan bimbingan bersama demi masa depan yang terjamin.

“Sebagai sebahagian daripada masyarakat, kita perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dan memberi perhatian kepada murid-murid ini agar mereka tidak diketepikan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, ibu bapa juga harus memberikan kepercayaan kepada anak-anak istimewa mereka bagi mendapatkan pendidikan untuk kebolehan berdikari pada masa akan datang.

Yayasan Harapan Pontian ditubuhkan dengan objektif untuk membantu meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan termasuklah golongan istimewa.

SMK Tan Sri Osman Mohd Sa’at mempunyai 630 orang murid dimana 33 daripadanya merupakan pelajar-pelajar pendidikan khas.

 

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top