JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Cermin tingkap dipecahkan, set pemain cd dan dvd, aksesori serta stereng diambil, selain tayar dan rim juga dicuri.
Demikian nasib menimpa bekas penyanyi kumpulan rock Rusty Blade, Yantzen apabila kereta jenis MG TF 120 miliknya itu dipecahkan selain kehilangan beberapa komponen penting.
Rasa marah bercampur kesal dinyatakan dalam kiriman di laman sosial Instagramnya baru-baru ini.
“Salam sejahtera semua. Amat menyedihkan saya. Tiada apa yang boleh nak dikata. Saya tiada komen.
“Tayar dan rim pun turut dicuri. Ada kesan cubaan buka but belakang apabila bahagian kuncinya dipecahkan,” katanya.
Mengulas lanjut insiden itu Yantzen berkata, kereta itu diparkir di depan rumah kedai rakannya yang dibuka 24 jam.
“Saya buat keputusan parkir kereta ini depan rumah kedai. Saya berkenalan dengan pemiliknya dan kami jadi kawan.
“Pemilik kedai ini beritahu jangan risau kerana kedainya buka 24 jam. Namun, dia sudah pindah keluar dan pencuri ‘kerjakan’ kereta saya,” katanya lagi.
Menurut Yanzten, dia hanya menyedari tayar dan rim keretanya dicuri pada malam raya Aidiladha lalu.
“Apabila saya beli tanah dan bina rumah di Hulu Langat, kereta ini terpaksa ditinggalkan di situ kerana jalan masuk agak teruk dan menggunakan kereta lain untuk bergerak.
“Saya bercadang mencari trak tunda untuk membawa kereta ini ke rumah saya tetapi belum sempat buat apa-apa, cermin pula dipecahkan,” katanya.
Kata Yantzen kereta kesayangannya itu dibeli pada 2005 dan kerugian dianggarkan hampir RM5,000 dengan bahagian bonet tidak boleh buka kerana pemacu kuncinya rosak.
“Saya sayangkan kereta ini dan hanya menggunakannya untuk program tertentu seperti persembahan makan malam dan acara khas,” katanya.
Berikutan itu, Yanzten terpaksa menempah semula stereng keretanya secara atas talian.
Beliau juga turut membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.
Sumber: Harian Metro