BM | EN | 中文

Yadim Johor sasar sumbang pek makanan kepada 2,000 keluarga

Yayasan-Dakwah-Islamiah-Malaysia-YADIM.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 NOV: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) negeri Johor menyasarkan untuk memberi bantuan pek makanan keperluan asas kepada kira-kira 2,000 keluarga di negeri itu yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Pengarahnya Muhamad Ammar Abdullah berkata bagi tempoh Mac lepas hingga hari ini, pihaknya menyalurkan bantuan pek makanan kepada 1,000 keluarga yang memerlukan, terutama pekerja Malaysia di Singapura yang hilang pekerjaan.

Beliau berkata penyaluran pek makanan itu yang bernilai kira-kira RM50 setiap satu, mengandungi antaranya beras, gula, biskut, kicap dan bihun akan dibuat hingga penghujung tahun ini.

Advertisement

“Kita sudah cecah 1,000 (keluarga)… dan saya jangka bantuan itu akan diterima seramai 2,000 keluarga hingga Disember ini dengan melibatkan peruntukan RM100,000.

“Kita juga sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan pek makanan ini sehingga pandemik COVID-19 beransur pulih,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan pek makanan kepada penduduk di sekitar Pasir Gudang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 150 pek makanan diberikan kepada penduduk berkenaan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Negeri Johor dan Dewan Undangan Negeri Permas.

Advertisement

Sementara itu, Pengurus Pusat Pentadbiran YaPEIM Johor Tajul Ariffin Harun berkata pihaknya menyerahkan pek makanan keperluan asas dan daging segar kepada 4,160 penerima yang terjejas COVID-19 di negeri ini, bagi tempoh April lepas hingga hari ini.

“Hingga kini, hampir RM493,000 dibelanjakan untuk sumbangan, kita bergantung kepada sedekah jariah dan sumbangan dana.

“Sekiranya ada masyarakat yang mahu bersedekah, insya-Allah kita akan terus beri bantuan,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top