BM | EN | 中文

WKB2030 RAPATKAN JURANG MISKIN-KAYA, ANTARA KAUM DAN WILAYAH

wawasan-kemakmuran-bersama-2030.png

Tun Dr Mahathir pada majlis pelancaran WKB2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi ini

Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) memberi tumpuan kepada penstrukturan semula ekonomi, dengan objektif merapatkan jurang besar antara golongan kaya dan sangat miskin, diantara kaum dan diantara wilayah di negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, kesan daripada struktur ekonomi sepanjang dua dekad lalu telah mengembangkan jurang di kalangan kumpulan pendapatan, kumpulan etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.

Katanya, jurang di kalangan antara kumpulan berpendapatan 20 peratus teratas dengan kumpulan 40 peratus terbawah semakin melebar dari perbezaan RM2,000 pada 1990 menjangkau lebih daripada RM10,000 secara tahunan pada 2016.

Advertisement

Manakala jurang di antara etnik, sama ada Bumiputera kepada Cina mahupun India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga empat kali ganda sepanjang 27 tahun yang lalu.

Tambah Dr Mahathir, jurang etnik juga terpapar dalam bidang pekerjaan, nilai tambah perniagaan selain penguasaan kekayaan korporat antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, dalam masa sama pengagihan ekonomi antara wilayah juga turut berkembang.

“40 peratus GDP tertumpu di wilayah Kuala Lumpur raya (manakala) jurang pendapatan menengah di wilayah ini terjumlah lebih daripada RM10,500 berbanding pendapatan menengah di luar Kuala Lumpur hampir separuh darinya.

Advertisement

“Jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar dan semenanjung dengan Sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara,” katanya.

“Dalam konteks rantaian bekalan, kes-kes monopoli dan pencatutan semakin bertambah dengan sebahagian pihak mengawal rantaian bekalan dan menyebabkan kurangnya penyertaan kumpulan lain khususnya PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana),” katanya.

Justeru itu kata Dr Mahathir, melalui WKB2030 diharap mampu menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan.

Advertisement

Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran WKB2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi ini.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top