BM | EN | 中文

Wee nafi guna PRN Johor singkir pesaing dalam MCA

wee-ka-siong.jpg

BATU PAHAT, 27 FEB: Wee Ka Siong menafikan tuduhan Ketua Bahagian MCA Pontian Tee Siew Keong yang mendakwa presiden MCA itu menggunakan PRN Johor untuk menyingkirkan pesaingnya dalam parti.

Wee menyifatkan kenyataan Tee yang berbaur rasa tidak puas hati itu sebagai seorang yang kecewa selepas tidak dapat bertanding dalam PRN.

Wee berkata dia tidak kecil hati dengan tuduhan sedemikian.

Wee menegaskan MCA tidak menggugurkan Tee sebagai calon sebaliknya tiada kerusi untuknya bertanding kerana ia telah diserahkan kepada Umno ketika rundingan pertukaran kerusi.

“Jika kita menggantikannya di Pulai Sebatang, maka mungkin dia ada sebab untuk mengatakan kami mengenepikan pesaing.

“Tetapi semasa proses rundingan, kami tidak dapat kerusi itu dan diberikan kerusi lain.

“Jadi bagaimana boleh katakan yang kita mengenepikan pesaing? Kita tidak dapat kerusi jadi macam kita nak letakkan dia (di kerusi)?” katanya, lapor Malaysiakini.

Tee, yang bertanding di Pulai Sebatang pada setiap pilihan raya umum sejak 2004, menuduh kepimpinan parti menggunakan pertukaran kerusi untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Tee, yang dilihat sealiran dengan bekas presiden MCA Chua Soi Lek, mewakili Pulai Sebatang dari 2004 hingga 2018 sebelum dia tewas kepada wakil Amanah.

Berikutan pertukaran kerusi itu, MCA menyerahkan kerusi di Parit Yaani dan Pulai Sebatang kepada Umno untuk ditandingi. Sebagai balasan, Umno memberi MCA kerusi Puteri Wangsa.

MIC juga menyerahkan Skudai kepada MCA tetapi diberi pertukaran dengan Bukit Batu, yang sebelum ini ditandingi oleh Gerakan, yang bukan lagi sebahagian daripada BN.

Wee berkata dia memahami kekecewaan Tee. “Saya dapat memahami sepenuhnya perasaan Tee,” katanya.

Wee menegaskan bahawa pertukaran kerusi tidak dilakukan secara sepihak.

Dia berkata Umno Pontian telah berulang kali menyatakan minat terhadap kerusi itu.

Tambahnya, walaupun terdapat pertukaran kerusi, MCA akhirnya berjaya memperoleh 15 kerusi negeri untuk ditandingi, – sama pada pilihan raya umum 2018.

Johorkini

Share this post

scroll to top