BM | EN | 中文

Wee Ka Siong tak perlu tumpang nama atas inisiatif pihak lain

wong-shu-qi-parlimen-kluang-jalan-Kluang-Ayer-Hitam.png

KLUANG, 20 OGOS: Ahli parlimen Ayer Hitam yang juga Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong tidak perlu menumpang nama atas inisiatif yang dilakukan pihak lain berhubung usaha permohonan naiktaraf jalan Ayer Hitam – Kluang.

Ahli parlimen Kluang Wong Shui Qi berkata, projek naiktaraf jalan FT50 fasa 3A (Ayer Hitam – Kluang) telah diluluskan dalam belanjawan 2020 yang dibentang oleh Kerajaan Harapan pada bulan Oktober 2019.

“Sebagai ahli parlimen Kluang pada penggal ke-14, saya sendiri telah menyediakan satu surat rayuan bersama ahli parlimen Batu Pahat dan Sri Gading kepada Menteri Kerja Raya dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, supaya projek ini dijalankan secepat mungkin.

“Usaha kami membuahkan hasil pada awal tahun 2020 sebelum kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan.

“Malangnya, kami tidak sempat membuat sebarang pengumuman walaupun projek ini telah diluluskan dalam belanjawan (Pakatan) Harapan,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Kata Shu Qi, sejak 2013 hingga Mei 2018, bekas ahli parlimen Kluang, Liew Chin Tong ketika itu beberapa kali mendesak kerajaan BN meluluskan projek naik taraf Jalan FT50.

“Malangnya, projek naiktaraf ini tidak dapat diluluskan pada penggal ke-13 walaupun Datuk Seri Wee Ka Siong yang merupakan ahli parlimen Ayer Hitam adalah ahli jemaah menteri ketika itu,” katanya.

Tambah Shu Qi, projek naiktaraf jalan FT50 fasa 3A yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan telah dijadualkan bermula tahun ini.

Namun, fasa 3A hanya merangkumi bahagian Jalan FT50 bermula Parit Sempadan (sek 21) sehingga Simpang Tol Air Hitam (sek 35) sepanjang 14km.

Justeru itu, bahagian jalan bermula dari Simpang Tol Air Hitam (sek 35) hingga Stadium Kluang (sek 49), iaitu projek 3B belum diluluskan lagi.

“Apabila saya membangkitkan isu jalanraya ini buat kali kedua dalam persidangan kali ini, saya telah menyatakan bahawa walaupun projek 3A telah diluluskan, projek 3B perlu diberi perhatian oleh kerajaan juga.

“Sekiranya Wee Ka Siong mahu membuktikan nilai diri beliau sebagai satu-satunya menteri MCA dalam jemaah menteri, sudah pasti KPI beliau adalah kelulusan fasa 3B dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang tidak lama lagi.

“Jangan cuba menumpang nama seolah-olah projek 3A diluluskan oleh Barisan Nasional atau Perikatan Nasional padahal beliau hanya mengumumkan apa yang telah diluluskan oleh kerajaan PH,” kata Shu Qi.

Tambah Shu Qi, penduduk di sepanjang laluan itu itu sedang menanti pengumuman kelulusan fasa 3B pada bulan November 2020.

“Saya berharap Menteri MCA tidak akan mengecewakan kita,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top