BM | EN | 中文

Warga Singapura antara ditahan terlibat sindiket edar dadah bernilai RM560,000

Duit-dadah-Gari-PDRM.jpeg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Polis menahan tiga orang termasuk seorang warga Singapura dalam serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Batu Caves, dekat sini pada Khamis lalu dan merampas dadah bernilai RM560,000.

Semasa serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, pada kira-kira pukul 5 petang itu, polis memberkas ketiga-tiga suspek semasa menjalankan transaksi jual-beli dadah.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata hasil serbuan, polis turut menemukan 14 bungkusan plastik dadah disyaki jenis Methamphetamine atau syabu seberat kira-kira 14 kilogram.

Advertisement

“Siasatan mendapati kesemua suspek ini adalah pembekal dan dadah yang dirampas itu adalah untuk edaran di kawasan Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini, semalam.

Susulan serbuan itu, polis turut merampas kereta Mercedes Benz dan kereta Mazda yang digunakan suspek, seutas jam tangan berjenama serta beberapa barangan kemas, katanya.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak sebulan lepas dan bekalan dadah diperoleh di sekitar Lembah Klang.

Advertisement

Arifai berkata suspek warga Singapura berusia 47 tahun yang ditahan itu memiliki perniagaan menjual telefon bimbit di Johor, manakala dua warga tempatan masing-masing seorang wanita dan lelaki berusia 24 dan 25 bekerja sebagai pembantu kedai dan buruh.

“Suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan judi manakala kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini (13 Ogos) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1950,” katanya sambil menambah polis masih mencari saki-baki ahli kumpulan ini.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top