BM | EN | 中文

Warga Indonesia tiada dokumen sah dinasihat manfaat RP – KJRI Johor Bahru

Konsulat-Jeneral-Republik-Indonesia-KJRI-Johor-Bahru.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di sini menasihati rakyatnya yang tidak mempunyai dokumentasi sah untuk berada di negara ini agar memanfaatkan sepenuhnya Program Rekalibrasi Pulang (RP) yang bakal tamat pada 30 Jun ini.

Konsul Jeneral Sunarko berkata sejak program itu dilaksanakan kerajaan Malaysia pada November tahun lepas, lebih 2,000 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di Johor telah dihantar pulang.

“RP adalah alternatif paling selamat dan murah untuk mereka pulang ke Indonesia tanpa perlu melalui laluan yang tidak diwartakan untuk keluar dari Malaysia dengan bayaran yang tinggi kepada ejen.

Advertisement

“Ini kerana mereka hanya akan dikenakan bayaran kompaun RM500 seorang untuk golongan dewasa dan RM100 bagi kanak-kanak oleh Jabatan Imigresen untuk dibenarkan pulang.

“Tetapi sebelum itu, mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen perlu datang ke pejabat kami untuk mendapatkan dokumen tertentu bagi diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sunarko berkata selepas memperoleh permit pulang, mereka mempunyai tempoh dua minggu untuk menyelesaikan urusan pembelian tiket dan melakukan ujian saringan COVID-19 menggunakan RT-PCR (PCR) yang kosnya akan ditanggung individu itu sendiri.

Advertisement

“Konsulat bagaimanapun akan menanggung kos PCR dan tiket pulang bagi mereka yang sakit dan kurang berkemampuan tetapi bayaran kompaun kepada Jabatan Imigresen tetap ditanggung oleh mereka sendiri kerana telah melakukan kesalahan di negara ini,” katanya.

Inisiatif RP itu yang dipantau oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga, diperkenalkan kerajaan untuk memberi peluang kepada pendatang tanpa izin dari Indonesia untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Antara yang layak menyertai program itu ialah mereka yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah; Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (melanggar syarat pas).

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top