PONTIAN, 14 JAN: Seorang warga emas maut selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dalam satu kemalangan di Parit Makasar, Benut, di sini semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Hud Sanuse berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.36 petang.
Katanya, seramai 11 anggota dengan satu jentera dan sebuah kenderaan EMRS dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Kenderaan dari arah Benut ke Pontian itu dipercayai telah terbabas dan melanggar tiang elektrik sehingga mengakibatkan seorang lelaki warga emas yang merupakan penumpang hadapan maut di tempat kejadian.
“Mangsa dikeluarkan daripada kenderaan itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemandu kenderaan yang merupakan isteri mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
JohorKini