KOTA TINGGI, 21 OKT : Seorang warga emas maut selepas Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan Proton Saga dalam kemalangan di KM4.0 Jalan Perani-Lok Heng pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.58 pagi itu menyebabkan mangsa Ali Sakiman, 72 maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dalam perjalanan dari Felda Waha menghala ke Kota Tinggi telah bertembung dengan sebuah Proton Saga.
“Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dan turut dinaiki penumpang lelaki berumur 21 tahun. Kedua- duanya telah mengalami cedera parah serta mendapat rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Manakala, pemandu Perodua Viva seorang lelaki berumur 72 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Punca kejadian masih disiasat dan kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pihak polis ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan keselamatan dijalan raya.
Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Shahrulnizam Johari berkata, sebanyak dua jentera dan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kemalangan itu.
Menurutnya, pihak bomba melakukan kerja menyelamat dan menamatkan operasi pada jam 7.30 pagi.
JohorKini