MUAR, 11 NOV : Seorang warga emas maut selepas terjatuh dalam perigi di rumahnya di Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, pagi semalam.
Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 7.47 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota dengan kekuatan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai di lokasi didapati benar terdapat seorang mangsa wanita telah terjatuh ke dalam sebuah perigi seperti yang dilaporkan oleh pemanggil.
“Mangsa dikenali sebagai Saridah Bunawan, 59 berjaya dikeluarkan dari dalam perigi oleh keluarga mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.27 pagi.
JohorKini