BM | EN | 中文

Warga emas korban pertama banjir di Johor

Warga-emas-korban-pertama-banjir-di-Johor.jpeg

Gambar Ehsan Media Mulia

SEGAMAT, 8 JAN: Seorang warga emas ditemukan lemas selepas motosikal yang ditungganginya hanyut dibawa arus deras di Serakek, Buloh Kasap, di sini semalam.

Mangsa, Gan Ai Boon, 63, yang juga pekebun ditemukan kira-kira pukul 5.15 petang semalam pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras.

Terdahulu, mangsa dalam perjalanan ke kebun duriannya semalam sebelum keluarganya membuat laporan apabila tidak pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd. Hazim Abdul Razak berkata, mangsa cuba menyeberangi arus deras di atas jalan yang digenangi air.

“Disebabkan arus terlalu deras, mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya lalu dihanyutkan sehingga ke dalam sungai yang berhampiran.

“Ini adalah korban pertama melibatkan mangsa lemas sejak daerah Segamat dilanda bah tempoh hari,” katanya, lapor Utusan Online.

Menurut Muhd. Hazim, mayat mangsa ditemukan berpakaian baju T hijau serta berseluar panjang berwarna gelap namun motosikal ditungganginya belum lagi ditemukan.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bandar Segamat melibatkan seorang pegawai dan 10 anggota turut dikejarkan dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa dengan teknik Water Surface Rescue menggunakan sebuah bot.

Operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.50 petang setelah mangsa diserahkan kepada pihak polis dan di bawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top