BM | EN | 中文

Warga emas di Johor rugi RM697,000 ditipu ‘Datuk Suhaimi dari Bukit Aman’

Scam.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 26 DIS: Seorang warga emas yang juga jurujual kenderaan mendakwa kerugian RM697,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar kononnya Pengarah di Bukit Aman dikenali sebagai ‘Datuk Suhaimi’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata terdahulu wanita berusia 74 tahun dikatakan menerima panggilan telefon pada 16 Disember lalu, yang mendakwa beliau mendaftar dengan sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM55,800.

Beliau berkata, talian kemudian disambungkan kononnya ke Bukit Aman sebelum mangsa bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pengarah bernama ‘Datuk Suhaimi’.

Advertisement

Beliau berkata, ‘Datuk Suhaimi’ didakwa kemudian menghantar satu pautan dan mengarahkan mangsa mengisi maklumat peribadi serta butiran perbankan.

“Mangsa dikatakan menekan pautan itu pada telefon bimbitnya sebelum mengisi butiran dan akses perbankan dalam talian ke dua akaun bank tempatan, iaitu milik sendiri serta akaun bersama adiknya.

“Seterusnya, suspek mengarahkan mangsa supaya memindahkan kesemua wang simpanan miliknya ke dalam akaun melalui pautan diberi, atas alasan untuk tujuan siasatan.

Advertisement

“Mangsa menurut arahan itu lalu memindahkan RM312,795.66 ke dalam akaun berkenaan pada 21 Disember lalu,” katanya, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa yang membuat semakan dan kemas kini buku akaun, semalam, mendapati berlaku pengeluaran wang akaunnya kepada pihak tidak dikenali membabitkan jumlah RM697,000.

Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top