KLUANG, 15 NOV: Penduduk dari Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) disini menghasilkan memoir kenang-kenangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ahli parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dalam kiriman di laman facebook beliau berkata, memoir yang berjudul “Covid-19 BBIM Lockdown” itu berkisar mengenai pengalaman penduduk di kawasan itu yang dikenakan PKPD.
Bandar Baru Ibrahim Majid dan Kampung Datuk Ibrahim Majid yang berada dalam Mukim Ulu Benut, Simpang Renggam, Kluang merupakan kawasan pertama yang dikenakan PKPD di negara ini.
“Tahniah kepada KRT dan warga BB Ibrahim Majid yang telah menghasilkan memoir kawasan PKPD pertama di Malaysia.
“Coretan pengalaman dan juga pengajaran yang terkandung dalam majalah memoir ini amat berharga dan penting buat rujukan rakyat Malaysia.
“Tahniah kepada warga kawasan berkenaan yang tabah dan sabar menghadapi dugaan dengan penuh disiplin dan tawakkal.
“Saya amat bangga menjadi wakil anggota masyarakat yang hebat seperti anda semua,” kata Dr Maszlee.
PKPD dikuatkuasakan di dua kawasan itu pada 27 Mac hingga 28 April yang mana penduduk tidak dibenarkan meninggalkan rumah dan bukan penduduk dilarang masuk ke kawasan itu.
Dua kawasan itu menempatkan 3,570 orang penduduk daripada 650 keluarga.
Johorkini