BM | EN | 中文

Wanita trauma dikejar ah long Singapura selepas jadi ‘kambing hitam’

IMG-20200210-WA0041.jpg

Keadaan kediaman Poh Yoke yang disimbah cat oleh ceti haram

JOHOR BAHRU, 10 FEB : Seorang wanita di Taman Bukit Mewah dekat Tampoi, di sini trauma selepas mendakwa menjadi ‘kambing hitam’ apabila dua kali diancam ah long dari Singapura gara-gara perbuatan adiknya.

Lai Poh Yoke, 46 merupakan peniaga mee berkata, dia juga malu untuk keluar rumah selepas kediamannya disimbah cat dan dibaling bahan berunsur letupan dalam kejadian Disember dan Januari lalu.

Ibu kepada seorang anak itu mendakwa, adiknya dikenali sebagai Mui, 40, yang bekerja dan tinggal di Singapura terjebak dengan pinjaman ceti haram berjumlah SGD35,000 iaitu RM104,009.

Menurutnya, pada awalnya perkara itu dinafikan adiknya bahkan sejak pertengahan Januari lalu adiknya terus gagal dihubungi dan terus menyepi hingga mengakibatkan dia terus menjadi mangsa.

“Akibat kesan simbahan cat di kereta dan bahagian hadapan rumah, kami menanggung kerugian RM5,000. Saya semakin khuatir dengan keselamatan ahli keluarga.

Keadaan kereta Poh Yoke yang turut disimbah cat oleh ceti haram

“Saya hanya berniaga menjual makanan dan pendapatan kira-kira RM1500 dan tidak mungkin mampu membayar balik pinjaman adik,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, dia turut membuat laporan polis di Balai Polis Kempas pada 21 Januari lalu.

Dalam pada itu Pok Yoke berkata, dia juga sanggup memutuskan hubungan dengan adiknya agar dia tidak terus menjadi mangsa buruan ceti haram itu.

Katanya, dia yang turut menjaga lima anak Mui berusia 12 hingga 22 tahun sejak kecil lagi berharap keluarganya bebas daripada ancaman ceti haram dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Adik seharusnya bertanggungjawab atas pinjaman berkenaan dan harap dia menyelesaikan masalah yang timbul,”katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top