JOHOR BAHRU, 20 NOV : Seorang wanita mengandung antara yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh sehingga mengakibatkan sebuah warung terjejasdi Jalan Mutiara Emas 5/15, Taman Mount Austin, di sini, pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tanah runtuh itu pada jam 8 pagi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai sembilan anggota dari balai bantuan BBP Tebrau turut dikejarkan ke tempat kejadian. Tanah runtuh yang berlaku mengakibatkan sebuah warung yang dibina di tepi tebing turut runtuh.
“Terdapat tiga orang mangsa yang terlibat termasuklah seorang wanita mengandung merupakan pelanggan warung.
“Wanita tersebut telah diselamatkan oleh orang awam dan telah diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi.
JohorKini