JOHOR BAHRU, 22 SEPT: Golongan wanita terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas disarankan untuk menjalani ujian saringan kesihatan bagi mengesan masalah reproduktif pada peringkat awal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung berkata, antara ujian berkenaan adalah bagi mengesan kanser payudara, kanser pangkal rahim serta cegah kanser serviks.
“Bersempena dengan bulan kesedaran kanser payudara Oktober ini, golongan wanita harus mengambil kesempatan mendaftar dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) untuk menjalani ujian saringan yang berkenaan.
“Setiap wanita perlu meluangkan masa untuk membuat pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi mengesan awal masalah yang boleh dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian majlis pelancaran roadshow MARI (Mesra, Aktiviti, Riadah dan informatif) daerah Mersing, hari ini.

Cai Tung (tengah) bergambar dengan para pengunjung yang hadir
Program tersebut bertujuan untuk menyampaikan perkhidmatan agensi terus kepada pemimpin dan masyarakat setempat melibatkan pelbagai gerai daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’im (YPKDT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.
Selain itu, para pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan berkaitan kesihatan reproduktif wanita secara percuma oleh LPPKN menerusi klinik bergeraknya.
Tambah Cai Tung, sejak awal tahun hingga Ogos lalu, seramai 1,823 orang wanita telah menjalani ujian saringan mamogram di Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Muar.
“Manakala bagi ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) DNA untuk mengesan kanser pangkal Rahim, seramai 1,292 orang wanita telah menjalani pada tempoh yang sama,” katanya lagi.
Beliau berkata, bagi suntikan HPV pula, seramai 946 orang telah melengkapkan dos pertama yang mana sasaran bagi negeri Johor ialah 1,000 orang wanita,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap, selepas ini, lebih ramai wanita yang akan mengambil kesempatan untuk menjalani ujian saringan yang berkenaan bagi mengesan awal masalah kesihatan yang mungkin dihadapi.
Johorkini