BM | EN | 中文

Walau patuh SOP, kempen calon PH diserbu pihak berkuasa

IMG-20220301-WA0005.jpg

ISKANDAR PUTERI, 1 Mac: Kempen calon Pakatan Harapan (PH) DUN N49 Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad diserbu pihak berkuasa walaupun masih mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semasa serbuan yang disertai pegawai polis dan SPR, Dzulkefly berkempen secara dalam talian menerusi program LIVE NGETEH KOTA ISKANDAR, malam tadi.

Dalam program itu, Dzukefly yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor membincangkan tentang masa hadapan Kampung Pulai Mutiara yang terletak dalam DUN tersebut.

Kira-kira 30 hadirin turut menyertai program tersebut bermula selepas Maghrib dengan majlis doa selamat serta perasmian butik kecantikan yang terletak berdekatan lokasi kejadian.

Sumber memberitahu Johorkini, hasil rundingan pihak Dzulkefly dengan pihak berkuasa telah mendapat kerjasama yang baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Polis dan pegawai SPR datang, kami pun jelaskan program yang dijalankan masih mematuhi SOP.

“Jadi mereka tidak mengeluarkan sebarang kompaun cuma minta supaya tidak diulangi,” ujarnya ketika dihubungi.

Dzulkefly merupakan penyandang DUN Kota Iskandar apabila menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 dengan majoriti 14,543 selepas menewaskan pesaing Mohd Khairi A Malik (BN) dan Sallehuddin Mohd Dahiran (Pas).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan selepas pembubaran DUN pada 23 Januari 2022.

AMANAH yang bertanding di bawah logo PH meletakkan 16 calon termasuk daripada sayap wanita dan pemuda.

Tarikh penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari, pengundian awal pada 8 Mac dan pengundian pada 12 Mac.

Seramai 2.6 rakyat Johor layak mengundi pada PRN kali ke-15 ini.

Undian ini penting untuk menentukan masa depan Johor bagi tempoh lima tahun lagi.

Para pengundi yang berada di luar Johor diharapkan pulang mengundi untuk memilih calon wakil rakyat di tempat masing-masing.

Sekiranya pengundi berdepan kesukaran untuk pulang mengundi, sila layari johorngundi.com untuk mendapatkan bantuan atau memberi sumbangan.

Share this post

scroll to top