JOHOR BAHRU, 6 SEPT: Sebagai tanda penghargaan atas jasanya, wajah doktor pakar pelatih surgikal Dr Amalina Che Bakri diabadikan dalam bentuk mural di Lorong Seni, Kota Tinggi, Johor.
Berkongsi perkara tersebut menerusi laman sosial Instagram, Dr Amalina turut memberikan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri Johor kerana mengiktiraf dirinya sebagai anak negeri Johor.
Beliau berkongsi gambar mural tersebut dengan kiriman “I feel very honoured. Check out Lorong Seni in Kota Tinggi, Johor (Saya rasa terharu. Sila periksa di Lorong Seni, Kota Tinggi, Johor),” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut disertai dua tanda pagar #ProudJohorean dan #IGrewUpInJohorBahru sebagai tanda bangga.
Jun lalu, satu pasukan doktor pakar, termasuk Dr Amalina, mencatat sejarah apabila berjaya dalam pembedahan mengeluarkan ketumbuhan seberat 200 gram daripada mulut adik Ainul Mardhiah di Hospital Great Ormond Street, London.
Ia merupakan pembedahan berisiko tinggi, dengan pelbagai persiapan dirancang sebelum pembedahan berjalan bagi memastikan bayi berkenaan selamat.
Pembedahan itu dianggarkan mencecah kos RM1 juta dapat dilaksanakan dengan bantuan orang ramai yang menghulurkan bantuan
Malah Dr Amalina turut memainkan peranan bagi mendapatkan bantuan kenalannya dari kalangan pakar perubatan di UK, bagi mencari cara terbaik dalam merawat penyakit bayi itu.
Kejayaan pembedahan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat lawatan sehari selepas pembedahan dan menyatakan perasaan terharunya terhadap bayi berusia 10 bulan itu serta sikap rakyat Malaysia yang membantu bayi berkenaan.
Johorkini