KUALA LUMPUR, 21 OKT: Vertiv (Malaysia) Sdn Bhd (Vertiv) melihat unjuran perniagaan yang kukuh kerana permintaan yang meningkat untuk kapasiti pemprosesan data dalam persekitaran pandemik COVID-19 dan pelaburan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih tinggi di negara ini.
Vertiv menyediakan pusat data mikro bersepadu dan aplikasi kritikal lain.
Pengurus Negara Vertiv di Malaysia, Teoh Wooi Keat berkata susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta arahan oleh kerajaan supaya bekerja dari rumah semasa pandemik COVID-19, peningkatan ketara dalam penggunaan Internet sebanyak 23.5 peratus telah dicatatkan.
“Perniagaan memerlukan saluran yang lebih besar untuk menyampaikan data, justeru ia menyebabkan permintaan pemprosesan data yang lebih tinggi kerana kesalinghubungan yang lebih baik menjadi keutamaan bagi perniagaan dalam peralihan ke proses dan sistem yang dilengkapi teknologi,” katanya semasa sesi media yang diadakan secara maya oleh Vertiv semalam.
Sehubungan itu, apabila Vertiv telah bekerjasama dengan Honeywell untuk mewujudkan operasi pusat data yang lebih mampan dan cekap, Vertiv berharap perniagaan akan berjalan dengan baik dalam tempoh dua tahun akan datang, katanya.
Beliau berkata kerjasama itu dijalinkan berdasarkan sistem pengurusan bangunan terkemuka di industri, perisian operasi, produk keselamatan bersama dengan bekalan tenaga elektrik Vertiv, pengedaran tenaga elektrik, pemantauan infrastruktur dan penyelesaian modular.
Dua syarikat itu akan memanfaatkan pembinaan data operasi untuk memacu pengoptimuman operasi, mengurangkan penggunaan tenaga dan kos sambil meningkatkan prestasi serta kemampanan pusat data”Ini disebabkan oleh pelaburan oleh syarikat telekomunikasi, penubuhan pusat data dan permintaan yang semakin meningkat kemungkinan akan berterusan sehingga vaksin COVID-19 ditemui,” katanya.
Teoh berkata 2020 akan menjadi tahun infrastruktur digital dibentuk dan dipertingkatkan dengan teratur, tahun 2021 pula akan menjadi tahun Vertiv memastikan peralatan yang dibekalkannya akan dipelihara dan diselenggara dengan betul.
Mengenai asas pelanggan Vertiv, beliau berkata kebanyakan syarikat telekomunikasi di negara ini adalah pelanggan Vertiv dan syarikat itu juga telah memperluas pangkalan pelanggannya dengan menambah majlis-majlis perbandaran sebagai pelanggan Vertiv.
“Majlis perbandaran telah mula menggunakan pusat data mikro untuk aktiviti seperti tiket bagi letak kereta, sewa dan sebagainya. Kami berharap kerajaan akan membelanjakan lebih banyak wang untuk pendigitalan sehingga lebih banyak majlis perbandaran dapat memajukan sistem mereka,” katanya.
Mengulas mengenai perniagaan Vertiv di rantau ini, Teoh mengatakan trend pelaburan ICT menunjukkan bahawa lebih banyak pelaburan ditujukan ke Malaysia, Thailand dan Indonesia.
“Pelaburan di pusat data di Singapura semakin perlahan sekarang. Pembangunan pusat data Microsoft di Kulai, Johor menunjukkan minat pelabur di Malaysia,” katanya.
Menurut kerajaan negeri Johor, pembinaan pusat itu sudah siap sebanyak 40 peratus.
Pembangunan itu akan merangsang sektor ekonomi dan memberi peluang pekerjaan di negeri Johor, katanya.
Bernama