BM | EN | 中文

Venue Sukma Johor takkan jadi projek gajah putih

benue-Sukma-Johor-2020.png
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 3 NOV: Kerajaan Johor memberi jaminan kesemua 39 venue Sukan Malaysia (Sukma) 2020 tidak akan menjadi projek ‘gajah putih’ setelah penganjurannya dilanjutkan pada 2024.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemudahan sukan tersebut tidak akan dibiarkan sahaja, sebaliknya pelbagai program akan diadakan selain membenarkan orang awam menggunakannya

“Kerajaan negeri akan pastikan venue Sukma Johor 2020 tidak jadi gajah putih. Selain dibuka kepada umum, beberapa venue turut dijadikan pusat latihan buat pasukan kebangsaan. Sebagai contoh, velodrom di sini digunakan oleh pasukan junior kebangsaan untuk menjalani latihan.

Advertisement

“Setiap venue mempunyai pemegang taruh tersendiri. Jadi, tidak timbul isu ia akan terbengkalai dan tidak diselenggara dengan baik kerana setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kekuatan kewangan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai Sukma Johor yang dianjakkan pada 2024 di Iskandar Puteri, semalam.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz memberitahu, penangguhan itu atas permintaan kerajaan negeri setelah berbincang dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Advertisement

Katanya, jika Sukma Johor 2020 diteruskan pada tahun depan, hampir semua kontinjen berdepan masalah persiapan atlet untuk menyertai temasya sukan berkenaan.

“Daripada 900 atlet Sukma, 30 peratus sudah tidak ada dan mereka tidak berlatih lagi. Kebanyakan mereka memberi tumpuan pada pelajaran, kerjaya dan masa depan mereka.

“Masalah ini bukan hanya berlaku pada kontinjen Johor, malah turut berlaku kepada negeri-negeri lain. Mereka ini tidak boleh tunggu sahaja, jadi ada hikmahnya Sukma Johor ditangguhkan.

Advertisement

“Penganjuran Sukma 2022 oleh MSN di Kuala Lumpur pada tahun depan memastikan tidak berlakunya ‘lost generation’. Walaupun tidak dianjurkan dalam skala besar, sekurang-kurangnya dapat beri ruang kepada atlet pelapis,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, jawatankuasa tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) pada Khamis bersetuju agar penganjuran temasya sukan terbesar negara itu di Johor pada tahun hadapan ditangguhkan ke 2024.

Perkembangan itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, yang meneliti status laporan terkini penganjuran Sukma dan Para Sukma Johor 2020.

Advertisement

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, jawatankuasa sama turut bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top