KLUANG, 24 MAC: Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi memaklumkan, pihaknya berjaya mendaftarkan kira-kira 2,000 nama bagi program vaksinasi Covid-19 kebangsaan.
Menurut Shu Qi, pejabat ahli parlimen Kluang dengan gerak kerja para pegawai pusat khidmat telah mengadakan sepuluh kaunter bergerak melalui program ‘Sayangi Kluang’.
“Dalam dua minggu sahaja, DAP Kluang serta pejabat ahli parlimen telah berjaya mengadakan sepuluh pejabat bergerak serta mendaftarkan lebih kurang 2,000 penduduk untuk program vaksinasi Covid-19 dalam daerah Kluang.
Sebahagian besar penduduk luar bandar, khususnya warga emas, memerlukan bantuan anak muda untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi.
“Anak dan cucu mereka mungkin tidak dapat pulang daripada luar negeri atau negara untuk membantu di bawah PKPB.
“Oleh itu, kami bergerak di sekitar daerah Kluang supaya warga emas dan sesiapa yang layak boleh mendaftar bagi program vaksinasi,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menggalakkan cawangan-cawangan DAP di tempat lain untuk menggiatkan program tersebut agar lebih ramai orang menyertai program vaksinasi.
“Kita ambil suntikan vaksin untuk melindungi diri, malah, melindungi ahli keluarga dan rakan kita.
“Paling penting sekali, kita perlu pastikan kejayaan program vaksinasi demi ekonomi negara,” ujar Shu Qi lagi.
Johorkini