BATU PAHAT, 23 FEB: Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mengisytiharkan darurat perlu membuka semula Dewan Rakyat untuk ahli parlimen bersidang.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Abdul Hamid Jamah berkata, kepentingan institusi politik itu digerakkan semula bagi memudahkan suara rakyat di negara ini dibawa melalui perbahasan di Dewan Rakyat.
“Ramai yang tertanya apakah Muhyiddin (Tan Sri) punya alasan untuk menutup pintu Dewan Rakyat sedangkan perkara itu boleh dilaksanakan, apatah lagi tatkala vaksin untuk Covid 19 yang telah tiba dalam negara kita.
“Jadi sudah bolehlah Muhyiddin membuat keputusan untuk membuka semula Dewan Rakyat.
“Bagaimana alasan kerajaan Muhyiddin mahu membuka semula sesi persekolahan fizikal, begitulah juga tiada alasan untuk tidak membuka semula Dewan Rakyat,” kata Hamid.
Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan bahawa vaksininasi Covid 19 bakal diterima petugas barisan hadapan termasuk Menteri Kabinet dan ahli parlimen di negara ini.
Tambah beliau, Muhyiddin akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah sekiranya Dewan Rakyat terus dibiarkan tidak bersidang dalam masa terdekat ini.
“Banyak isu rakyat dan suara mereka boleh dibawa untuk persidangan kali ini dan tidaklah kita menerima SOP dan pelbagai undang-undang mengarut macam apa yang terjadi sekarang,” jelasnya lagi.
Johorkini