JOHOR BAHRU, 28 JAN: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengarahkan semua aktiviti dan perjalanan melibatkan staf dan penuntutnya ke negara China ditangguhkan serta merta bermula semalam.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, pihaknya turut melaksanakan pencegahan maksimum bagi memastikan wabak koronavirus tidak berlaku di kampusnya.
Katanya, pencegahan maksimum itu bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan 30,000 warga universiti itu di kedua-dua kampus miliknya, iaitu di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“UTM memiliki seramai 399 penuntut warganegara China, dimana 112 daripadanya merupakan pelajar baharu yang mula mendaftar semester ini.
“Untuk makluman, kesemua penuntut China, termasuk penuntut warganegara lain yang baru pulang dari China perlu menjalani ujian saringan kesihatan.
“Ini bermakna, penuntut terlibat akan menjalani tiga lapisan ujian saringan kesihatan, bermula dari China, kemudian Setibanya di negara ini dan seterusnya di pihak UTM sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Tambah Wahid, sehubungan itu pihaknya turut memberi jaminan kepada masyarakat bahawa universiti itu telah mengambil kesemua langkah pencegahan sewajarnya.
“Saya yakin, kita telah mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi cabaran ini.
“Sehubungan itu, kami berharap masyarakat tidak berasa bimbang kerana kami telah melakukan yang terbaik untuk warga universiti dan juga masyarakat setempat,” katanya.
Johorkini