JOHOR BAHRU, 22 JAN : Satu memorandum perjanjian (MoA) bagi membangunkan produk berasaskan bio dan proses baharu yang lestari untuk sektor pertanian ditemeterai oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) dan Arif Efektif Sdn Bhd.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, kerjasama melibatkan projek pembangunan platform penyelidikan mikrob untuk industri pertanian bagi projek ‘Bioprocess Optimization and Scale Up Studies on Microbial Strains Cultivation’ selama dua tahun.
Katanya, projek yang bernilai RM264,000 itu telah memulakan operasinya dari 1 April 2019 dan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di IBD dengan diketuai oleh Pengarahnya, Prof Dr Hesham El Enshasy.
“Di mana UTM berperanan untuk meningkatkan keberkesanan produk pertanian yang akan dihasilkan oleh syarikat menggunakan sumber berasaskan mikrobiologi untuk kelestarian.
“Produk ini adalah untuk menggantikan penggunaan bahan kimia toksik yang digunakan secara meluas untuk mengawal penyakit terhadap tanaman yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan.
“Sehubungan itu, kerjasama ini dilihat tepat pada masanya dan juga signifikan kerana industri kini berkolaborasi dengan institusi pendidikan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang lebih komprehensif untuk manfaat bersama,”katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, memorandum berkenaan ditandatangani Prof Datuk Ir Dr Wahid bagi pihak UTM manakala Arif Efektif Sdn Bhd diwakili oleh Pengerusi, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman.
Johorkini