JOHOR BAHRU, 4 OKT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sedia berkongsi kepakarannya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengendali pusat peranginan di negara ini dalam melaksanakan inisiatif bandar bebas karbon (LCC).
Pensyarah Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM (Kampus Pagoh) Dr Muhammad Abdul Latiff berkata, UTHM berjaya membangunkan modul pemantauan pintar LCC (Low Carbon Challenge) yang mendapat pengiktirafan.
Katanya, melalui modul tersebut kerajaan negeri mahu pun pihak swasta mampu menyediakan persekitaran lebih baik seterusnya menarik minat pelabur asing yang menitikberatkan soal ‘green investment’.
“Jika kita ikuti rapat perbahasan pemimpin dunia di New York sempena Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kebanyakan mereka menyebut tentang isu perubahan iklim dunia dan antara punca penyumbang utama perubahan iklim adalah pelepasan karbon.
“GreenTech Malaysia cuba mendidik masyarakat Malaysia tidak kira agensi kerajaan, atau persendirian dengan mengingatkan semua pihak mempunyai mempunyai tanggungjawab yang sama menuju ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah.
“Selalu kita sering fikirkan asap karbon ini adalah pelepasan asap kilang dan kereta.
“Ia tidak semata-mata perkara berkenaan kerana membabitkan faktor lain, seperti pengurusan sampah yang lebih baik, pelepasan karbon dioksida, penggunaan elektrik, pengangkutan, air dan elemen lain untuk mencapai LCC 2030,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Dr Muhammad, Malaysia mempunyai matlamat pengurangan pembebasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, sekaligus mendokong wawasan ke arah bandar karbon rendah dan melaksanakan komitmen negara melalui Perjanjian Paris 2010.
“Alhamdulillah, seruan itu disahut Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan Shaz Resort Pulau Tinggi selaku pengendali pusat peranginan persendirian, dua pihak pertama di Johor yang menyahut seruan ini,” katanya.
Beliau menambah, pihak industri dialu-alukan menyumbangkan dana berbentuk geran industri kepada UTHM seperti dilakukan Shaz Resort yang komited menjadi resort contoh dengan meletakkan kepentingan aspek alam sekitar yang mapan dalam aktiviti pelancongan.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengurusan Pengeluaran & Operasi, Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Dr. Mohd Fahmy Abdullah berkata, melalui geran penyelidikan, UTHM boleh bekerjasama dengan pihak industri dalam usaha mendukung wawasan bandar rendah karbon.
“UTHM berharap, sistem pemantauan pengangkutan rendah karbon yang dibangunkan bersama MPBP dan pelan LCC bersama Shaz Resort, menjadi contoh kepada pihak lain dan mempelawa semua pihak menyertainya,” katanya.
Pada 9 Oktober 2019 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Shaz Resort Sdn Bhd diwakili pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Shaz Resort Sdn Bhd, Datuk Paduka Md Zairi Zainal akan menerima Sijil Pengiktirafan ‘Low Carbon Cities 2030 Challenge.
Ia bakal disampaikan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin sempena International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2019 (IGEM 2019).
Johorkini