BM | EN | 中文

Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

ismail-kamus.jpg

Gambar Ehsan FB Ustaz Dato Ismail Kamus

Advertisement

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan menerusi Facebook rasmi pendakwah berkenaan.

“Duka cita dimaklumkan. Tuan Guru Ustaz Dato Ismail Kamus telah meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulis pengendali laman Facebook tersebut.

Advertisement

Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia memaklumkan jenazah Allahyarham Datuk Ismail Kamus akan diuruskan di Masjid as-Sobirin, Keramat AU5 pada jam 9.00 pagi dan akan disolatkan disana.

“Jenazah Allahyarham Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus akan diuruskan di Masjid as-Sobirin, Keramat Au5 jam 9.00 pg esok dan akan disolatkan disana,” kenyataan tersebut dipetik.

Laman itu turut dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih atas pemergian Allahyarham.

Advertisement

“Semoga Allah SWT menempatkan beliau ditempat yang mulia di sisi Allah SWT ta’ala,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu BH Online melaporkan Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh berkata, Allahyarham dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Advertisement

Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

Advertisement

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Advertisement

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Pihak Johorkini turut menyampaikan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham. Takziah buat keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top