BM | EN | 中文

Usahawan IKS disaran jalin kerjasama dengan universiti, agensi kerajaan bagi pemindahan teknologi

Perbadanan-Pembangunan-Teknologi-Malaysia-MTDC.jpg

KULAI, 25 OGOS: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sentiasa menggalakkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menjalinkan kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan tempatan serta agensi kerajaan yang menjalankan penyelidikan dalam pemindahan teknologi.

Ketua Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata, usaha itu dilihat dapat melahirkan usahawan IKS yang berkemahiran dalam teknologi-teknologi baharu, sekali gus mencipta inovasi serta menerima manfaat daripada perkongsian kepakaran.

“Kita memfokuskan kepada pemindahan teknologi dalam kalangan IKS dan jika pihak IKS tidak ada kemampuan sendiri, kita galakkan mereka untuk menjalin kerjasama dengan pihak universiti.

“Tidak semestinya universiti sahaja, malah, institut pendidikan tempatan dan apa-apa agensi kerajaan yang melakukan penyelidikan juga boleh. Jadi, jika boleh jalin kerjasama, penyelidik boleh memindahkan kepakaran mereka itu kepada usahawan,” katanya kepada pemberita pada program Pengkomersialan Harta Intelek Usahawan Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad.

Norhalim berkata, menerusi program Pengkomersialan Harta Intelek itu, usahawan akan dibantu dalam meningkatkan produktiviti syarikat melalui suntikan teknologi, selain berpeluang berinteraksi atau menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti dan institusi penyelidikan tempatan.

Katanya, seramai 80 usahawan di Johor terlibat dalam program berkenaan dengan lima syarikat terpilih akan menjalani program inkubasi selama enam bulan, manakala 10 syarikat lagi berpeluang mendapat bimbingan oleh mentor dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing selama dua bulan.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top