KLUANG, 27 OKT: Usaha memperjuangkan pembinaan projek Jalan Baharu Paloh-Bekok bagi menjimatkan jarak dan masa dan menghubungkan rakyat dari Paloh ke Bekok akhirnya membuahkan hasil menurut Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Kata Sheikh Umar, jarak asal yang menghubungkan daerah KLuang dan Segamat itu adalah sekitar 80km melalui jalan Yong Peng, namun menerusi pembinaan Jalan Baharu Paloh-Bekok, jaraknya hanya sekitar 15km sahaja.
Saya merakamkan penghargaan atas pengumuman dibuat oleh Mohd Solihan Badri, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor berhubung Projek Jalan Baharu Paloh-Bekok.
“Saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan yang telah memasukkan projek ini dalam senarai projek berimpak tinggi RMK-12.
“Menurut kenyataan beliau, projek dengan peruntukan kira-kira RM199 juta itu telah pun berada dalam peringkat reka bentuk dan dijangka akan bermula pada suku kedua tahun hadapan.
“Beliau turut menyatakan bahawa projek yang berada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini dijangka akan mengambil masa selama 3 tahun untuk disempurnakan pembinaannya.
“Selaku ADUN bagi kawasan Paloh, saya menzahirkan rasa syukur terhadap pengumuman ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, semenjak dipilih mewakili rakyat Paloh, beliau cukup prihatin apabila melihat ramai rakyat setempat menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas ke Bekok.
Terdahulu, pada Ogos 2020, Sheikh Umar telah membuat serahan tangan surat serta dokumen-dokumen berkaitan projek ini kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
“Justeru, saya memulakan usaha serius dengan mengangkat agenda pembinaan Jalan Paloh-Bekok ke pelbagai peringkat, jabatan serta agensi yang berkaitan.
“Lawatan demi lawatan juga telah saya sertai melibatkan pelbagai wakil Kementerian, Jabatan dan agensi.
“Saya juga telah mengangkat perkara ini dalam Sidang DUN Johor untuk perhatian Dewan dan tindakan sewajarnya oleh pihak Kerajaan.
“Tidak lupa penghargaan kepada Menteri Besar Johor dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri atas sokongan tak berbelah bahagi dalam menjadikan projek pembangunan melibatkan kawasan DUN Paloh suatu keutamaan,” katanya.
Bekas Exco Belia dan Sukan Johor itu berkata, limpahan manfaat bakal diperolehi oleh rakyat di sepanjang jajaran jalan Paloh-Bekok termasuklah dari aspek ekonomi.
“Projek ini juga bakal menjadi sejarah Johor sebagai projek pembinaan ‘pintu masuk pertama jalan darat’ yang menghubungkan antara dua daerah iaitu Kluang dan Segamat,” katanya lagi.
Johorkini