BM | EN | 中文

Usaha kesan gajah betina cedera terkena jerat di Mersing giat dilakukan

Usaha-kesan-gajah-betina-cedera-terkena-jerat-di-Mersing-giat-dilakukan.png

JOHOR BAHRU, 3 SEPT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang giat mengesan seekor gajah betina yang disyaki cedera selepas terkena jerat di ladang Felcra Labong, Endau dekat Mersing, Sabtu lalu.

Pengarahnya Salman Saaban berkata pengesanan dilakukan oleh lima kakitangan Perhilitan Mersing yang digerakkan ke lokasi kejadian untuk memantau keadaan.

Ia susulan satu laporan dibuat oleh pekerja ladang berkenaan yang melihat kehadiran gajah berkenaan memasuki kawasan ladang tersebut, sebelum bertindak merakam videonya.

“Kita meneliti video yang dirakamkan dan didapati memang benar terdapat seekor gajah masuk ke dalam ladang berkenaan dalam keadaan disyaki cedera berikutan terkena jerat.

“Justeru itu, pada pukul 9 tadi (hari ini) kita telah menggerakkan seramai lima anggota bagi mengesan kumpulan gajah berkenaan yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Salman berkata pengesanan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan gajah berkenaan menerima sebarang jangkitan berikutan kesan luka daripada jerat itu.

“Kebiasaannya kesan jerat akan mengakibatkan jangkitan kuman, kemudian boleh membawa kepada gangren yang seterusnya menyebabkan gajah mati atau kaki terputus,” katanya.

Beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan gajah berkenaan agar menghubungi pihaknya menerusi talian hotline 1800-88-5151.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top