MUAR, 23 FEB: Ahli parlimen Bakri, Yeo Bee Yin menyampaikan ucapan tahniah kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas penganugerahan Asia Environmental Enforcement Awards 2020 daripada United Nations Environment Programme (UNEP).
UNEP dalam satu kenyataan media 17 Februari lalu menyebut tentang tindakan JAS menghantar pulang 42 kontena sisa plastik haram pada November 2019, menerusi kerjasama rapat Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan pihak-pihak berkuasa dari United Kingdom (UK).
Bee Yin yang juga mantan menteri MESTECC berkata, anugerah itu mengangkat usaha JAS menghantar pulang sisa plastik haram dan menutup banyak tempat kitar semula plastik haram.
Beliau memegang portfolio MESTECC dari Julai 2018 hingga Februari 2020.
“Kerajaan Malaysia telah menyasarkan untuk menangani kebimbangan bahawa negara itu adalah salah satu daripada pengimport sisa plastik dunia.
“Sebagai hasil daripada langkah diambil oleh bahagian penguatkuasaan dalam Jabatan Alam Sekitar, lebih 200 kontena sisa plastik haram telah dihantar pulang dan banyak tempat kitar semula plastik haram telah ditutup,” kenyataan UNEP dipetik.
Bee Yin dilaporkan Roketkini berkata, penganugerahan ini perlu dijadikan peringatan kepada semua bahawa Malaysia bukanlah ‘terlalu kecil’ untuk melawan keganasan alam sekitar (environmental terrorism).
Tambahnya, usaha jabatan itu dapat memberi inspirasi kepada negara-negara membangun dan duna ketiga lain untuk menentang pembuangan sampah asing serta memberi suara lebih lantang dan penelitian antarabangsa terhadap pergerakan sampah merentas sempadan.
“…ini sehingga dunia secara keseluruhan akan menjadi lebih hijau dan baik pada masa depan,” katanya.
Johorkini