ISKANDAR PUTERI, 22 OGOS: Usaha memerangi pandemik Covid-19 di Johor perlu dilakukan tanpa mengorbankan keberkesanan pentadbiran pihak berkuasa tempatan, kata Adun Skudai, Tan Hong Pin.
Katanya, ini kerana hampir semua jabatan atau agensi kerajaan mengamalkan konsep “Bekerja Dari Rumah” semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya terima maklum balas daripada orang awam bahawa urusan mereka dengan pihak berkuasa tergendala untuk tempoh lebih setahun yang lalu kerana pegawai yang bertanggungjawab terpaksa bekerja dari rumah dan mereka tidak dapat menyusul perkembangan terkini urusan mereka dengan jabatan.
“Saya berharap pihak kerajaan dan PBT dapat merangka suatu mekanisme penyusulan yang berkesan yang membolehkan orang awam berhubung terus dengan pegawai yang bertanggungjawab ke atas urusan mereka itu supaya komunikasi dan kerja susulan masih dapat dijalankan apabila pengamalan Bekerja Dari Rumah,” kata Tan dalam ucapan perbahasan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibnu Almarhum Sultan Iskandar, hari ini.
Ujar Tan, beliau tidak menolak konsep “Bekerja Dari Rumah” yang diamalkan kini, tetapi kerajaan negeri perlu merangka kaedah baru bagi menyelesaikan kerja-kerja yang tertunda.
“Kaedah ini terpaksa dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19.
“Apakah strategik atau KPI kerajaan negeri dan PBT untuk membantu dan memantau penjawat awam supaya mereka dapat memastikan keberkesanan pentadbiran dijalankan dengan lancar dan efektif.? soal Tan.
Dalam perkembangan sama, Tan berkata kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Kerja-kerja pencegahan Covid-19 seolah-olah hanya diletakkan pada bahu sesetengah jabatan dan agensi sahaja, seperti Jabatan Kesihatan, Bomba, Polis, dan Angkatan Pertahanan Awam sehingga boleh dikatakan bahawa sesetengah jabatan ini telah “overloaded” sementara sesetengah daripada tugas-tugas pada bahu jabatan-jabatan ini boleh dipikul bersama oleh agensi atau pihak lain.
“Bagaimana kita boleh melibatkan jabatan atau agensi atau pihak yang lain sebahagian daripada tugas-tugas ini? kata Tan lagi.
Johorkini