BM | EN | 中文

Upah warga Indonesia, maritim tahan bot nelayan kelas C di Mersing

Bot-nelayan-kelas-C-upah-warga-Indonesia-ditahan-Maritim-Malaysia.jpeg

Gambar Ehsan Media Mulia

Advertisement

MERSING, 14 NOV: Bukan sahaja melakukan kesalahan menangkap ikan berhampiran darat, bahkan sebuah bot nelayan tempatan kelas C, di sini turut berani mengupah warga asing sebagai kru tanpa sebarang dokumen kebenaran.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, bot berkenaan ditahan di Tanjung Resang kira-kira pukul 2 petang semalam.

Katanya, ketika ditahan bot tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira sembilan batu nautika dari daratan Tanjung Resang.

Advertisement

“Bot tersebut dikesan melakukan aktiviti menarik pukat untuk menangkap ikan ketika bot Zon Maritim Mersing sedang dalam operasi Op Jaksa di sekitar perairan Mersing. Selepas ditahan dan diperiksa, bot itu didapati melakukan kesalahan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari daratan terdekat.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan, didapati bot nelayan tersebut terdiri daripada seorang tekong warganegara Malaysia dan empat kru warganegara Indonesia yang berusia lingkungan 34 hingga 68 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat kru warganegara Indonesia tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya, lapor Utusan Online.

Advertisement

Jelas Khairul Nizam, dua daripada warga Indonesia tersebut juga turut didapati tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Katanya, bot nelayan dan semua kru tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

Advertisement

“Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top