SHAH ALAM, 21 DIS: Universiti Selangor (Unisel) hari ini menggerakkan seramai 300 orang sukarelawan bagi misi bantuan pasca banjir ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Pengarah komunikasi korporat Hasril Abu Hassan berkata misi diketuai Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman membantu membersih rumah mangsa banjir selain menyerahkan bantuan kewangan.
Katanya, misi bantuan tersebut menumpukan beberapa kawasan terjejas antaranya di Bestari Jaya, Sungai Kandis dan Padang Jawa.
“Buat masa ini Unisel kampus Bestari Jaya masih selamat dan tidak terjejas. Meskipun begitu, kesemua pelajar yang berada di dalam kampus telah diberikan pelbagai bantuan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya, lapor SelangorKini.
Turut menyalurkan bantuan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin, Penggerak Belia Selangor (PeBS), Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Johorkini