BM | EN | 中文

Undi 18: Kenyataan Rais Yatim perlekeh anak muda, Parlimen

steven-sim-rais-yatim-undi-18.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim yang undi 18 tidak praktikal untuk diadakan tahun ini seolah memperlekeh anak muda, kata ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Katanya, kenyataan itu tidak bertanggungjawab, tidak rasional, menghina anak muda serta Parlimen dan tidak wajar dikeluarkan oleh tokoh politik veteran itu.

“Pemikiran kolot bahawa anak muda belum bersedia menunjukkan bahawa Rais Yatim jelas tidak memahami sentimen majoriti rakyat Malaysia dan tidak cakna tentang anak muda.

Advertisement

“Amat sedih bagi seorang pemimpin politik veteran yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Rais sebelum ini dilaporkan sebagai berkata “Undi 18 tahun tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini” dan menyifatkan keputusan untuk melaksanakan Undi 18 adalah tergesa-gesa selain mendakwa anak muda “belum bersedia di sisi tuntutan demokrasi”.

Untuk rekod, Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing meluluskan pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pada 16 Julai 2019 dan pada 25 Julai 2019.

Advertisement

Steven dilaporkan Roketkini berkata, Rais perlu menghormati kehendak parlimen dan bukannya mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya yang boleh ditafsir sebagai menghina parlimen.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, yang merupakan antara penggerak Undi 18 semasa beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menegur rakan sejawatan beliau di Dewan Negara dan mewakili Dewan Rakyat menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan kehendak Parlimen tanpa berlengah lagi.

“Sudah tiba masanya parlimen menjalankan pengawasan pasca-legislatif terhadap pindaan yang begitu penting ini untuk mengelak kerajaan yang memerintah berdolak dalik dalam pelaksanaannya,” ujarnya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top