BM | EN | 中文

UNDI 18 DAN PENDIDIKAN SIVIK

undi-18.jpg
Advertisement

Oleh: Luthfi Yusri

Kerajaan harus komited meningkatkan kesedaran politik orang muda dalam subjek pendidikan sivik dan juga pendidikan pengundi dalam kalangan belia dan pelajar sekolah sepertimana yang dicadangkan oleh JK Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Pendidikan dapat mematangkan golongan pengundi seawal umur 18 tahun untuk memilih kelompok yang dapat memimpin Malaysia ke arah yang progresif. Pengetahuan mengenai intipati perlembagaan persekutuan, demokrasi, pilihanraya umum dan kepentingan mengundi memberikan suatu naratif yang baik kepada generasi anak muda.

Advertisement

Usaha sebegini memberi galakan kepada anak muda untuk berpartisipasi dalam usaha mencorak masa hadapan negara. Sejajar penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, saya fikir tiada masalah sekiranya anak muda seusia itu boleh bertanding dan terlibat sama untuk menjadi calon pilihanraya. Ia juga adalah ruang buat anak muda terlibat secara langsung dalam politik.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah diluluskan di Dewan Rakyat. Hujah untuk menafikan penurunan had mengundi 18 tahun kononnya tidak matang dan belum bersedia membuatkan saya semakin merasa bahawa inilah masanya untuk melakukan perubahan dalam mencorak politik nasional.

Soal matang atau tidak, ia bergantung kepada seseorang. Kematangan tidak diukur oleh usia. Adalah satu pernyataan yang dangkal untuk mengatakan bahawa usia sekian-sekian adalah matang. Kematangan harus ditampilkan dengan perilaku dan cara berfikir.

Advertisement

Meneliti usaha ini, saya percaya bahawa ia adalah proses kepada usaha menampilkan wajah Malaysia bagi 10 hingga 20 tahun akan datang. Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun sewajarnya menjadi realiti. Jikalau kita melihat negara-negara maju yang lain, majoritinya adalah berumur 18 tahun. Negara Brazil adalah paling muda, iaitu pada umur 16 tahun.

Pindaan ini juga mendapat sokongan parti pembangkang Pas dan Umno. Antara persoalan yang wajar difikirkan ialah sejauh mana penurunan had umur pengundi ini mampu memaksimakan keterlibatan anak muda dalam politik? Adakah pindaan usul ini menguntungkan mana-mana parti politik? Sejauh mana inisiatif kerajaan dalam menggembleng usaha memberi kesedaran politik kepada anak muda mengenai hal ini? Perbincangan ini haruslah dikembangkan di peringkat masyarakat akarumbi.

Saya percaya bahawa sokongan bipartisan membuktikan keseriusan kerajaan mahupun pembangkang dalam membina belia yang lebih berkualiti untuk masa depan negara. Saya memandang usaha ini adalah sebuah proses dan anjakan paradigma buat anak muda dalam mendepani cabaran yang akan datang. Proses kearah memberi ruang bagi keterlibatan anak muda di dalam menunaikan hak mereka.

Advertisement

Selain itu, kerajaan harus berperanan dalam menghasilkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pengundi. Tindakan ini dilihat menjadi satu dorongan kepada anak muda melibatkan diri secara langsung dalam demokrasi negara. Mekanisme ini mampu untuk meningkatkan kesedaran politik buat anak muda selaras konteks semasa yang bersifat ‘di hujung jari sahaja’. Fokus kepada anak muda haruslah bersifat komprehensif, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) haruslah disokong. Tetapi ia perlu seiring dengan pendidikan dan kesedaran di semua peringkat usia. Soal umur itu secara dasarnya boleh diperdebatkan dan dibahaskan. Ia bukan hujah yang tuntas. Kalau anak muda beusia 18 tahun sudah mampu membuat keputusan untuk menyambung pelajaran, berkahwin dan membuat perniagaan. Apalah sangat menjalankan tanggungjawab buat negara.

Luthfi Yusri adalah Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam dan Editor Nadi Siswa

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top