BM | EN | 中文

UMNO tarik sokongan: Pas Johor tunggu arahan Pusat

pas-johor-sejahtera-bersama-islam.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 JUL: Pas Johor memaklumkan masih tidak terdapat sebarang perbincangan peringkat negeri antara pihaknya dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu arahan daripada pentadbiran Pusat sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Hubungan Pas, Bersatu dan UMNO masih baik di Johor. Pas Johor masih berpegang pada slogan yang kita laungkan sebelum ini iaitu ‘Perkukuh Muafakat Nasional (MN) dan Mempertahankan Perikatan Nasional (PN)’.

Advertisement

“Sehingga hari ini kita masih buat program bersama Bersatu seperti memberi bantuan kepada orang susah, bakul makanan, bantuan Covid-19 dan sebagainya. Program dengan UMNO juga ada dibuat,” katanya, lapor Utusan Online.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan meminta jawatan Perdana Menteri dikosongkan segera.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas membuat penelitian melibatkan tujuh perkara yang gagal dilaksanakan kerajaan PN selama ini.

Advertisement

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan Bersatu dan UMNO kerana Pas Johor tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua parti itu selagi tidak ada ketetapan terbaharu.

“Kami akan terus memberi khidmat kepada rakyat negeri ini walaupun tidak mempunyai Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri dan hanya mempunyai sedikit wakil sebagai ketua kampung atau ahli majlis.

“Walaupun hanya 35 wakil Pas Johor dilantik sebagai ketua kampung, 16 sebagai ahli majlis dan dua sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), perkara itu tidak menghalang kami untuk berkhidmat demi rakyat,” ujarnya.

Advertisement

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pas Johor meyakini kemampuan dan kredibiliti Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri berdasarkan pengalaman dimiliki beliau.

“Pas Johor mengucapkan tahniah kepada kepada Datuk Seri Ismail (Sabri) atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tahniah juga kepada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri,” ujarnya.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top