KUALA LUMPUR, 29 JAN: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan ahli Umno agar bersama-sama dengannya memperkasakan parti dan tidak menjadi duri dalam daging atau unsur yang mengganggu proses tersebut.
Katanya, ketika ini Umno sedang bergerak dalam “kebangkitan mutlak” melalui kekuatannya sendiri.
Mengulas mengenai isu kemungkinan akan ada usul agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno harus rasional untuk menjaga kepentingan ahli akar umbinya.
Matlamat itu katanya mengatasi kepentingan kelompok kecil dalam Umno yang mungkin berfikiran jumud dengan agenda sendiri.
“Nasihat saya, jika tidak berupaya menjadi garam, jangan pula menjadi langau.
“Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa Umno sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak. Perkukuhkan, perkasakan, perhebatkan Umno dengan kekuatan kita sendiri,” katanya, lapor Malaysiakini.
Umno kini sedang menjadi perhatian ramai khususnya ekoran tindakan bersendirian parti itu mengusahakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor tidak lama lagi.
Johorkini