JOHOR BAHRU, 7 NOV: Walaupun Umno sudah berulang kali menyebut soal agenda dan dasar baharu mereka namun parti itu dikatakan tidak mampu membaiki kerosakan yang berlaku sebelum ini.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, Umno masih lagi mengekalkan individu yang menyebabkan parti itu tewas.
Ujar Muhammad Taqiuddin, individu yang dimaksudkan adalah bekas Perdana Menteri Ke 6, Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak.
“Antara perkara yang Umno tak boleh nak elak dan bebas daripada penyebab kekalahan mereka pada PRU 14 adalah Najib Razak.
“Meskipun orang sudah banyak kali sebut, Najib Razak punca Umno kalah dan rosak tapi kepimpinan Umno sukar untuk ketepikan dia.
“Sebab Umno masih terhutang budi dengan hasil dana politik yang dia bagi hasil penyelewengan dana awam,” kata Taqiuddin dalam hantaran di laman Facebook beliau.
Adun Pulai Sebatang itu turut berkata walaupun Najib Razak telah dijatuhkan hukuman bersalah, Umno masih lagi mahu mengusung beliau.
“Katalah apa pun, Umno BN akan kekal begitu. Meski ada gelaran ‘Dr’ di depan nama pun, NR (Najib Razak) jugalah jadi penentu ke mana Umno nak pegi.
“Melaka akan jadi langkah pertama dia untuk terus merencana pembebasan total dengan semua tuduhan jenayah yang telah dibawa ke mahkamah.
“Umno penyelamat kluster mahkamah. Mereka akan terus buat apa saja, asalkan bebas daripada salah laku yang dibuat semasa berkuasa. Muka baru, rencana sama,” tulisnya lagi.
Johorkini