BM | EN | 中文

UMNO Johor sokong Ismail Sabri hingga PRU-15

UMNO-Johor-sokong-Ismail-Sabri-hingga-PRU-15.jpg

Gambar Ehsan Hasni Mohammad

PONTIAN, 18 DIS: UMNO Johor menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad, berkata sokongan itu tidak perlu diterjemahkan dalam bentuk usul mahupun undian pada peringkat 26 UMNO bahagian di negeri ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, pergeseran dalam politik adalah perkara biasa, namun tidak perlu mengheret akar umbi untuk membuktikan sokongan terhadap mana-mana pemimpin di dalam UMNO.

“Ada gesaan dibuat supaya UMNO Johor perlu berikrar menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Namun, perlukah ikrar ini dibuat.

“Bukan tidak pernah ada perbalahan, pertembungan dan pergeseran dalam parti, tetapi perkara ini tidak perlu bawa dalam ucapan atau mesyuarat UMNO bahagian untuk dibuat ketetapan atau usul.

“UMNO Johor tetap menyokong Perdana Menteri, itu pendirian kita. Kita akan sokong Ismail Sabri sehingga penggalnya tamat.

“Pimpinlah negara ini baik-baik, buatlah dasar terbaik untuk menjaga UMNO dan orang Melayu, rencanakanlah program terbaik supaya kepentingan, kedudukan UMNO kembali semula menerima keyakinan rakyat, lakukan yang terbaik supaya kita dapat kembalikan keyakinan masyarakat terhadap UMNO,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiusaha Agung UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata, kematangan sewajarnya ditunjukkan UMNO yang berusia 75 tahun dalam isu sokongan kepada Perdana Menteri ketika ini.

“Saya amat kecewa jika pemimpin menganggap kita di cawangan ini seolah-olah tidak pandai berpolitik dan tidak pandai membuat pertimbangan.

“Tugas UMNO untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu serta berperanan sebagai parti politik yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat di negara ini.

“PRU-14 adalah malang bagi UMNO. Kita harus belajar daripada episod itu supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top