BM | EN | 中文

UDA peruntuk insentif RM10 juta bantu penyewa terkesan COVID-19

UDA-Holdings_Berhad.png
Advertisement

SEREMBAN, 3 OGOS: UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan insentif sebanyak RM10 juta bagi membantu kira-kira 1,500 usahawan bumiputera yang menyewa dan berniaga di premis pusat beli-belah seliaannya, di bandar-bandar utama seluruh negara.

Pengerusinya Datuk Jalaluddin Alias berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, UDA bertanggungjawab membantu usahawan bumiputera, khususnya ketika negara sedang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Katanya, antara pusat beli-belah seliaan UDA iaitu Angsana Mall Johor Bahru, Angsana Mall Ipoh, Angsana Seremban dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur.

Advertisement

“Insentif tersebut adalah seperti pengecualian satu bulan sewa kepada penyewa yang menjual barangan tidak perlu, 50 peratus diskaun kepada penyewa yang menjual barangan perlu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, pengurangan sewa 20 peratus turut diberikan kepada penyewa setelah tamat tempoh PKP sehingga September manakala penyewa tetap dibenarkan mempunyai sewa tertunggak selama tiga bulan sehingga 30 Sept nanti,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana UDA di (UTC) Seremban di sini, semalam.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berharap, menerusi insentif ini ia dapat merangsangkan perniagaan dan ekonomi usahawan berkenaan.

Advertisement

Sempena program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares-Enriching Life itu, 50 asnaf miskin dan ahli komuniti masing-masing menerima sekilogram daging korban yang disampaikan Jalaluddin.

“Sumbangan ini adalah antara usaha UDA menyantuni komuniti setempat dan dalam masa sama mengukuhkan ukhwah sesama ahli komuniti,” katanya.

Program Korban Perdana UDA 2020 itu dijalankan serentak di seluruh negara mulai Jumaat sehingga hari ini, menyasarkan surau dan masjid terpilih di beberapa negeri.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top