BM | EN | 中文

“TURUN HARGA MINIMA PEMILIKAN ASING, BUKAN HARGA HARTANAH”

gmbr-fail-dzulkefly-ahmad.jpg

ISKANDAR PUTERI, 24 NOV : Kerajaan negeri bersetuju menurunkan harga minima perolehan kepentingan asing dari RM1 juta kepada RM600,000 sebagai insentif bersifat kempen untuk tempoh tertentu bagi mengurangkan jumlah lambakan hartanah tak terjual di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara berkenaan telah diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2020 Khamis lalu.

Bagaimanapun beliau menegaskan, kerajaan negeri menurunkan harga minima pemilikan kepentingan asing, dan bukannya menurunkan harga hartanah daripada RM1 juta kepada RM600,000 seperti ditularkan di media sosial.

“Kerajaan sedar bahawa pada asasnya isu lambakan hartanah tidak terjual bukanlah merupakan tanggungjawab kerajaan negeri tetapi ia terjadi bila mana berlakunya ‘mismatch’ antara pembangunan yang dibina pihak pemaju berbeza dari permintaan dalam pasaran.

“Keputusan kerajaan ini juga tidak akan memberikan ‘isyarat yang salah’ kepada pihak pemaju untuk terus membina hartanah mewah atau berharga mahal (high end properties), dan bila mana berlaku lambakan maka kerajaan akan melaksanakan proses ‘bail out’.

“Oleh itu keputusan kerajaan mewujudkan insentif ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat, iaitu seperti insentif bersifat kempen ini hanya melibatkan hartanah berstrata (bertingkat) sahaja, tidak termasuk hartanah bertanah (landed property).

“Insentif bersifat kempen ini melibatkan dua jenis hartanah daripada kategori kediaman iaitu jenis pangsapuri dan kondominium dan juga kategori perniagaan iaitu jenis pangsapuri perkhidmatan dan SOHO (small office home office),”katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Sulaiman Mohd Nor (PH-Kemelah) di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Terdahulu Sulaiman bertanya sama ada kerajaan negeri akan melaksanakan penurunan harga hartanah jenis kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dari RM1 juta kepada RM600,000 bagi mengurangkan lambakan hartanah tak terjual di Johor.

Dzulkefly berkata, sekiranya dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan, penurunan harga minima pemilikan kepentingan asing hanyalah untuk hartanah jenis kediaman iaitu pangsapuri dan kondominium sahaja.

Tetapi Belanjawan Johor 2020 meliputi hartanah jenis kediaman iaitu pangsapuri, kondominium dan juga perniagaan iaitu pangsapuri perkhidmatan dan SOHO.

Katanya, ini kerana lambakan hartanah tidak terjual di negeri Johor kebanyakannya terdiri daripada jenis pangsapuri perkhidmatan, dibawah kategori perniagaan.

“Di negeri Johor terdapat 28,586 unit Pangsapuri Perkhidmatan yang tidak terjual, manakala hanya terdapat 17,194 unit pangsapuri dan kondominium di bawah kategori kediaman yang tidak terjual.

“Insentif bersifat kempen ini hanyalah melibatkan hartanah daripada kategori yang telah siap dibina dan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) telah dikeluarkan melebihi tempoh sembilan bulan.

“Ini merupakan definisi hartanah tidak terjual atau ‘overhang properties’ oleh Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC).

“Syarat yang ketiga ini boleh menghilangkan kebimbangan kemungkinan pihak pemaju perumahan mengambil kesempatan untuk menaikan harga hartanah dibawah dari RM600,000 katakan RM500,000 dan kemudian dinaikan menjadi RM600,000 supaya warga asing boleh membelinya,”katanya lagi.

Jelasnya jika perkara itu berlaku, maka peluang pembeli tempatan untuk memiliki hartanah dalam kategori tersebut akan berkurangan.

Beliau juga menyatakan bahawa perkara yang dibimbangi itu tidak akan berlaku kerana Insentif bersifat kempen ini hanya membenarkan hartanah yang telah siap dibina dan CCC telah dikeluarkan melebihi sembilan bulan.

Ia juga tertakluk kepada syarat ketat, antaranya berkuatkuasa dari 1 Januari hingga 30 September 2020, dan selepas tamat tempoh, harga minimum pemilikan kepentingan asing akan kembali kepada polisi asal, iaitu RM1 juta.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top